Wednesday, December 31, 2014

Di Penghujung Tahun 2014

Memang betul-betul last day dan jam-jam terakhir dah nie. Sebenarnya banyak catatan yang berdraf dalam nie yang tak aku publish kan. Sebab kadang tu mood mengarang datang separuh jalan. Pastu terus tak mau datang untuk mengisi ruang di Disember.

Hari ni aku cuma nak rangkumkan serba sedikit cerita kami sepanjang tak bersiaran nie sebagai penutup tahun 2014.

Ini Hi Tea Pra Sekolah SETARA di Strawberry Park Hotel, CH


Ini pula saat bersejarah dalam hidup Hariz. Walaupun mungkin ramai yang kata terlalu awal untuknya berkhatan tapi aku rasa, Insya Allah, keputusan yang aku buat ini tidak salah. Banyak sebab mengapa aku pilih untuk buat diusia ini. Dan inilah antaranya, sebab ada geng untuk sama-sama berpantang. Antara mereka bertiga nie salah seorangnya berusia 4 tahun. Pengalaman menjaga anak-anak yang berkhatan di usia nie hanya Allah jer yang tahu dan Alhamdulillah kami berjaya melaluinya. Moga detik bersejarah ini tetap di ingatan mereka.


Dua minggu selepas berkhatan. Inilah rupa orang yang kena paksa pakai jeans. Kalau ikutkan Hariz, dia masih takut untuk pakai seluar, tambah lagi jeans sebab takut sakit katanya. Tapi memandangkan dah nak balik ke Cameron bersama sepupu-sepupu lain yang nak datang berjalan ke sini maka dia terpaksa jugak. Yer la, takkan nak pakai boxer kot nak gi jalan-jalan kan.

 

Ok. mama pun sempat jugak bergambar kat sini. Hehe. Inilah jer aktiviti cuti sekolah Hariz. Jalan-jalan kat tempat sendiri je. Sebenarnya ada juga rancangan lain, tapi aku sendiri pun dah terlebih cuti sebab menjaganya sepanjang 2 minggu tu. Insya Allah, mungkin di lain kali yer Hariz.

Tahun depan, Hariz dah nak melangkah ke alam persekolahan yang sebenarnya. Alhamdulillah. Dah besar anak mama. Sepatutnya hari nie orentasi, tapi terpaksa ditangguhkan dan sesi persekolahan juga akan bermula 2 minggu lagi. Barang-barang sekolah kebanyakkan dah disiapkan sekadar yang mampu. Mama cuba yang terbaik untuk Hariz memulakan alam baru ni. Insya Allah.

Dikesempatan ini juga inginku menzahirkan rasa sedih pada mereka-mereka yang terlibat dengan banjir. Takziah buat mereka yang kehilangan insan-insan tersayang....

2014 - Banyak cerita duka dalam catatan diarimu....
2015 - Kuinginkan cerita indah dalam catatan diarimu....

Monday, November 24, 2014

Hari Graduasi 2014

Hari Graduasi dan Penyampaian Hadiah Pra Sekolah SK Tanah Rata telah pun di buat pada 13 Nov lalu. Majlis nie juga turut diadakan bersama dengan Pendidikan Khas. Walaupun agak sibuk dengan tugas harian kat pejabat tu, aku tetap cuba luangkan masa untuk datang melihat hariz naik ke pentas. Aku datang pun agak lewat, tapi mujur lah majlis tu pun mula lewat, jadi sempatlah tengok anak-anak di buat persembahan dan terima sijil.


Dapat Anugerah Murid Tulisan Kemas (L)

Macam-macam gelagat
 Di Pra Sekolah SETARA dibahagi 2 kelas. Bintang Ceria dan Permata Ilmu. Hariz di kelas Permata Ilmu.

Persembahan dari anak-anak Pendidikan Khas
Kalau dulu semasa di Tabika Islam, cikgu cakap hariz kurang dalam bahasa melayu tapi lebih sukakan lukisan dan matematik. Aku juga bandingkan waktu tu dia lebih kenal Iqra daripada huruf rumi. Mungkin sebab dia banyak sangat bermain. Tapi sekarang alhamdulillah, hariz dah pandai membaca walaupun agak lambat untuk habiskan 1 muka surat buka cerita. Permulaan yang baik diusianya. Di kelas KAFA pn resultnya baik. Setiap kali beralih Iqra' dia akan bagitau. Sekarang Hariz dah Iqra' 4.

Aku bersyukur melihat perkembangan hariz dan aku harap dan berdoa agar perkembangan ini berterusan. Ibu mestilah nak tengok anak-anaknya berjayakan. Insya Allah.


Friday, November 07, 2014

Info Selepas Banjir di Cameron Highlands

Hari ni aku nak kongsikan sedikit info selepas kejadian banjir kilat di Lembah Bertam dan Ringlet pada 5 November 2014. Memandangkan ramai yang telefon bertanya khabar tentang keadaan di Cameron Highlands dan aku rasa ramai sebenarnya yang telah membuat perancangan dan persiapan awal dalam masa terdekat ini atau mungkin juga untuk cuti sekolah nanti.

Buat masa ini semua 4 pintu masuk ke Cameron Highlands serta jalan-jalan utama di daerah ini adalah selamat untuk digunakan. Aku sertakan juga disini sedikit info yang di kongsi di Laman Sosial FB Majlis Daerah Cameron Highlands.


Keadaan cuaca di sini untuk semalam dan hari ini adalah baik. Cuma hujan sekejap di waktu petang. Itu sahaja yang mampu aku maklumkan setakat ini.


Aku kongsikan juga ramalan cuaca seminggu untuk makluman dan perancangan korang yang ingin melancong ke daerah ini. Insya Allah semoga perjalanan dan percutian kalian berjalan lancar dan selamat.


Monday, October 13, 2014

Cari Makan Lepas Penat Bersukan

Ok.. nie cerita tengah hari semalam. Balik dari sukan sekolah, terasa penat dan kemalasan nak memasak. Perut pun terasa lapar. Mulanya malas nak balik rumah tapi terpaksa balik gak memandangkan baju dan kasut si Hariz penuh berlumpur. Macam bersukan dalam sawah. Hehe.. maklumlah dengan cuaca hujan sekarang kn.

Budak yang suka makan strawberry chocolate


Aku pilih untuk makan kat Abang Strawberry ni sebab nak makan nasi kukus dengan asam pedas. Hariz pulak nak kan stoberi coklat. Satu pinggan aku order. Ingatkan boleh la menumpang.. tapi 2 biji jer yang aku dapat.. yang lain dia habiskan. Dah memang kegemarannya kan.

Kalau korang nak cuba nasi lemak sambal strawberry ikan masin boleh la cuba kat sini. Aku pun dah penah cuba. Nasi kukus asam pedas tu pun memang dihidang bersama dengan sambal tu. Rasenya boleh tahan. Ade rasa manis masam pedas dan masin. Kalau nk beli sambalnya pun boleh. Memang ada di botolkan. Dan masakan kat sini yang aku tau memang di masak sendiri oleh taukenya.

Jadi kalau anda ke Cameron Highlands.. Kampung Taman Sedia amatlah dicadangkan untuk anda singgah sebab bukan hanya Abang Strawberry... tapi banyak lagi usahawan melayu yang menjalankan perniagaan disini.




Sunday, October 12, 2014

Sukan Tahunan SK Tanah Rata 2014



Pagi tadi telah berlangsungnya Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Tanah Rata. Walaupun pada mulanya Hariz macam agak keberatan nak pergi sebab lebih sayangkan TV dan Tabnya, tapi lepas di paksa dia turutkan juga. Memang agak susah sekarang nak bangunkan dia untuk kesekolah. Alasannya nak tengok tv la, nak main tab. Sakit hati kadang tu. Rasa cam nak potong astro dan buangkan jer tab dia tu.

Ok berbalik semula pada cerita pasal sukan nie. Bila dah mula berjumpa kawan kat padang barulah semangatnya mula ada.

Tetap sempat bergaya

Tunggu giliran lari berganti
Ni dia paksa suh mama amik gamba atas pentas
Semua jenis medal ada dapat
Bergaya sebelum balik
Sebenarnya bukan hariz jer yang bersukan. Mamanya pun sibuk gak join untuk acara ibu bapa. Terpaksa, sebab takde orang. Konon. Tu yang dua tu hadiah mamanya ler. Dapat la johan acara kumpulan dan kedua untuk perseorangan. Dok sibuk lari serang balas pecah belon kat kaki orang lupa diri yang tengah bawak perut. Tak nampak ok perut i. Bukan ape, sekurangnya bila kita datang tengok dan join aktiviti sekolah anak-anak ni, dia tau yang kita nie sentiasa menyokong dan ambil berat pasal dia kan.

Ok. Tahniah Hariz sebab berjaya juga dapat 3 tempat dari 5 acara (kalau tak silap) yang dipertandingkan. Semua jenis ada lagi, gold, silver dan bronze medal. Ada juga kenangan di Pra-Sekolah SK Tanah Rata.



Friday, October 03, 2014

Don't Judge A Book By It Cover

Assalamualaikum...

Haa.. tetiba awal awal pagi nie keluar dengan tajuk dengan berbahasa Inggeris kan. Ok lah dalam kata lainnya tolonglah jangan menilai diri saya dengan hanya membaca artikel dari dalam blog saya nie. Contohnya walaupun ada entry masakan tapi saya sebenarnya bukanlah pandai sangat memasak, saya hanya suka makan dan cuba masak dari resepi yang saya suka. Entry coretan nukilan puisi atau macam cerpen yang tak kesampaian itu juga bukanlah untuk diri saya. Kadang ilham tu datang tp bila sedang mengarang idea hilang. Saya memang minat bersajak berpuisi dan mengarang sejak dibangku sekolah. Nak cakap berbakat tu taklah hanya sekadar minat. Mgkn juga sebab aku ni kadang suka berangan. Terlebih berangan. OSo bila kita kongsikan dalam blog kononnya nak bagi idea or perkongsian ilmu la pd orang lain. Huh perkongsian la sangat. BTW sarah.. nampaknya idea kau suruh aku hantar karya kat sasbadi tu mungkin hanya dalam mimpi... hahaha.. nk hantar kat sasbadi konon... mmg mimpi la :p....

Walau bagaimana pn ada gk cerita realiti yang saya ceritakan kat sini contohnya tentang hariz atau pergi bercutikan..

Ok lah.. rasa agak sopan bicara berbahasa 'saya' hari nie. Mungkin saya perlu fikirkan cara lain dalam berblog nie.. tp takkan 1 minat 1 blog... 5 minat 5 blog... penat saya nk handle tau.... hehe.. so all in 1 jer la.

Akhir sekali saya mintak maaf jika ada entry saya yang menyebabkan hati orang lain terasa. Lain kali jangan makan cili banyak sangat... hehe ok bai...

Thursday, October 02, 2014

Strawberry Chocolate



Sedapnya kan.. sebenarnya aku bukan la peminat tegar... tapi bila dah ada tu terasa la nak makan kan.. aku buat nie untuk Hariz... Kebetulan dok mencari stoberi untuk sahabatku yang mengidam jadi aku pun order la lebih. Kalau korang nak tau kenapa stoberi nie nak merah sepenuhnya, sebenarnya stoberi yang macam ni amat sesuai kalau korang nak bawa turun dari sini dan lebih tahan lama sikit. Kalau korang beli yang masak sepenuhnya bimbang nanti bila dah di bawa turun stoberi tu jadi cepat lembik dan tak tahan lama.


Dan mengikut sumber yang juga seorang pengusaha stoberi kat sini, sesetengah wanita di awal mengandung adalah tidak digalakkan juga untuk makan stoberi nie. Bimbang jika kandungannnya tak kuat. Tapi masa aku mengandungkan Hariz dulu, aku memang suka makan stoberi nie, cuma waktu tu aku tak tau lagi yang aku mengandung, tapi alhamdulillah takde apa-apa. Jemput makan.....





Wednesday, September 24, 2014

Puding Roti Bakar Berkaramel

Panjang sangat ke nama puding tu? Punyalah nak menggambarkan bagaimana  puding tu dibuatkan. Percubaan membuat puding nie masa cuti hujung minggu berminggu yang lepas. Tapi lupa nak post, banyak sangat gambar selfie dalam hp tu, sampaikan terlindung gambar puding nie kan...


Resepi asalnya ialah dari puding roti bakar yang biasa orang makan dengan sos kastard tu. Tapi aku gatal nak ubah konon malas nak buat sos kastard. So aku pun wat la gula hangus. Aku rasa percubaan yang agak kurang berjaya sebab manis sangat. Mungkin sebab roti tu aku sapukan dengan jem blueberry dan bancuhan telur dan susu tu pun aku letakkan gula lagi. Walau pun tak banyak tapi disebabkan dah berkaramel, makanya manisnya bertambah-tambahlah...


Aku bakar nie guna kaedah bain marie. Rase sedap tu dah ade cuma kena perbaiki dari segi kemanisan tu. Mungkin lain kali boleh try lagi kan. Jangan pernah berhenti mencuba.



Tuesday, September 23, 2014

Lamb... Lagi dan Lagi

Sedang aku mengusun makanan dalam pinggan, mak aku telefon. Soalan biasanya yang ditanyanya.. masak ape... kambing... kataku... mak aku gelakkan kan aku... kambing lagi... katanya... hehe.. Nak buat macam mana kan.. dah feveret... lagi pun kalau makan kat kedai... mahal, tak puas dan tak memenuhi selera kadang tu.. kalau masak sendiri boleh makan bertambah tambah kan.


Ok ini dinner aku dan hariz tadi. Biasa aku wat lamb chop kan, tapi kali nie aku buat lain sikit. Lamb tu aku potongkan dalam saiz sederhana, gaulkan dengan sedikit sos tiram, sos tomato, sos cili, serbuk pati ayam, kicap dan oren sunquick (sikit jer, nak rasa masam2 gitu)... aku tak sukat bahan ni, cuma agak2 mengikut banyak mana lamb yang ada. Gaulkan dalam periuk dan aku masak dengan api perlahan dan periuk bertutup selama 15 minit. Sambil tu gaul-gaulkan juga. Sejukkan sikit kemudian aku cucukkan lidi dan bakar. Air lebihan tadi aku gunakan untuk buat sos.

Simple sos, panaskan minyak, masukkan tepung, gaulkan kemudian terus aku masukkan lebihan sos perapan tadi. Kalau suka tumis la sikit dulu dengan bawang besar yang dipotong dadu. Aku tak buat sebab hariz tak suka bawang.

Eh macam dah bagi resepi sekali pulak kan. Hehe.. sharing is caring. Cepat dan mudah. Ialah, balik dari keje kan penat, nak kena masak lagi, boring gak asyik makan nasi jer.. sesekali tukar selera. Ini pun aku amik masa dalam sejam untuk sediakan. Tak payah nak perap bagaikan..


Lagi satu bila dah siap potong-potong macam nie lebih menyenangkan budak-budak nak makan. Tak perlulah kita nak tolong potong time makan kan. Tapi aku tetap kena tolong buangkan lidi untuk si Hariz nie... manja.. tak nak buat sendiri...

Ok.. sekian untuk perkongsian makan malam nie. Dah mengantuk. Nak tidur...


Thursday, September 18, 2014

Erti Sebuah Tangisan

Petang yang mendung dan suram... sesuram hati ini.... bertemankan secawan koko panas dan 2 potong roti, cukup untuk menghangatkan kedinginan petang ini. Penat pulang dari kerja masih terasa, membuat aku menangguhkan masa untuk menjenguk ke dapur... damainya kalau tiap-tiap petang dapat berehat seperti ini....

Are you happy? pertanyaan yang sering bermain diminda ku sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Entahlah... i'm not sure. Jawapan yang bersulam dengan sedikit sendu ketika itu.
Why? Soalan yang sekadar di jawab dengan senyuman olehku...

Kadang-kadang tidak semua berita yang mengembirakan itu perlu aku kongsikan dengan orang lain. Kerna aku bimbang berita itu nanti akan menyebabkan pihak lain terasa. Bimbang akan melukakan hati. Bimbang akan mengecewakan dia. Sedangkan aku sendiri tidak pasti dengan perasaanku sekarang. Perlukah aku menangis, perlukah aku gembira, perlukah aku memberitahu dunia bahawa sebenarnya aku gembira, tapi aku takut sehingga aku menangis. Aku tiba-tiba takut untuk berkata-kata. Aku tiba-tiba takut untuk menempuh hari mendatang.

Sabar da, tenangkan hati. Jangan menangis.... Ada hikmah disebalik apa yang berlaku...
Ohh... kata-kata dan suaramu itu menemani aku dalam meniti perjalanan hidupku.... yang membantu aku saat aku jatuh......yang banyak mengajar aku untuk dewasa.....yang selalu ada saat aku memerlukan...

Walau aku terpaksa menangis untuk melalui hari-hari mendatang namun aku tetap bersyukur padamu Ya Allah. Sesungguhnya hanya Engkau Yang Maha Mengetahui.


Terjebak Dengan Drama Korea

So Ji Sub as Joo Joong Won & Gong Hyo Jin as Tae Gong Shil
Sebenarnya tak sengaja pun aku terjebak dengan drama bersiri pendek korea ni. Kebetulan lepas tengok Running Man kat OneHD, mata tak boleh nak tidur so terus la terlayan cerita nie. Macam best la pulak kan. Walaupun aku sebenarnya bukanlah penggemar drama bersiri, bukan tak gemar sebenarnya tapi malas nak terjebak sebab aku nie kadang tu bukan la ada masa sangat nak duduk depan tv tu, banyak lagi keje rumah nak buat. Nanti bila asyik ngadap tv tak jadi keje la pulak.

Ok berbalik semula pada The Master's Sun nie, drama tahun 2013 nie cuma 15 episod jer dan dah tamat pun semalam. Aku tak tahulah pulak kalau drama ni dah pernah di mainkan coz aku pun baru juga bertukar ke astro Beyond nie.


Suka tau tengok diorang ni bergaduh, walaupun masing-masing ada perasaan antara satu sama lain. Cuma aku tak suka kemuncak ceritanya. Bila ada watak tambahan yang muncul. Pada aku menyebabkan jalan cerita nie jadi slow skit. Ending pun i tak bape nak minat... walaupun happy ending. Hahaha boleh gitu... jadi macam pengkritik pulak dah. Sekadar pendapat jer...

Seo In Guk as Kang Woo- suka tengok muka dia
Ok.. dah nak elakkan diri dari terjebak dengan drama-drama bersiri gini... ape ek aktiviti petang hari yang tak membosankan nak buat... ? Cuba resepi masakan korea... emmm korea lagi........ hehe.. k bai..


Saturday, August 30, 2014

Kuih Tako


Ini adalah aktiviti aku masa balik Kuantan minggu lepas. Tolong mak sedara aku buat kuih tako. Sarang kuih nie ada yang aku buat. So mana yang aku buat tu maybe kurang cantik la... giler dah lama aku tak buat. Masa blajar buat nie aku blum keje lagi kat sini. Lama kot...


Disebabkan buat nie bukan untuk jual so takpe la kalau tak cantik pun aku buatkan. Sebenarnya mak sedara aku tu memang amik tempahan untuk buat kuih. Kuih kole kacang dan tako ni antara yang paling mendapat tempat di hati pelanggannya nyer la...


Kami buat banyak nie sebenarnya nak bawak kerumah saudara untuk majlis akad nikah. Kuih ni aku suka makan sejuk. memang sedap... Ditambah dengan rasa sengkuang yang rangup didalamnya bila di gigit... huh.. tak dapat nak bayangkan kesedapannya...


Bila dah siap gni nampak lagi tak cantik lak sarang yang aku buat. Tapi aku rasa bukan salah aku gak kot... maybe sebab daun pandan, saiznya kecik-kecik jer... (hehe..alasan... salah ke daun plak).. Ok.. kalau korang kat sekitar Kuantan yang nak tempah kuih tako, kole kacang, puding atau beberapa kuih lagi yang mak sedara aku nie buat bolehlah berhubung terus dengan beliau.. 0179049250 (Khatijah or femes di panggil Kak Jah). kalau tak silap aku, tempahan makan untuk majlis kecik-kecik cam birthday ke ada gak beliau wat. Oklah.. nak tanya lebih lanjut boleh terus berhubung dengan tokeinya yer...


Friday, August 29, 2014

Roti Sarang Lebah


Dah lama dapur i tak berasapkan. Roti ni aku buat untuk jamuan hari raya unit aku aritu. Dalam kesibukan sepanjang ogos ni.. aku curi gak sedikit masa untuk buat roti yang "hot" diperkatakan nie. Tapi aku sendiri pun tak sempat rasa..

Tapi aku tak guna resepi asalnya... aku guna resepi roti yang aku biasa buat, cuma aku ubah suai dengan beberapa bahan tambahan untuk lebih melembutkan roti tu... penambah rasa dan hiasan tu pun aku gunakan apa yang ada kat rumah jer. Takde masa nak keluar cari barang.


Apa pun jadi jugalah kan walaupun yang 1 loyang nie garing sikit kat atasnya, tapi dalamnya masih lembut. Mengikut kata kawan-kawan yang makan, katanya sedap. Lagi banyak sos butterscotch, lagi sedap. Yang aku buat nie tak banyak coz stok gula perang dah tinggal skit. Aku bayangkan stok ada lagi kat umah. Maklumlah dah lama tak membaking..

Insya Allah kalau aku ada masa nanti nak buat la juga untuk makan sendiri kan. Nak merasa juga... akan aku cuba juga sukatkan resepi yang aku guna tu coz kalau aku buat sendiri main agak-agak jer.. hihi....

Untuk yang belum mencuba buat, coba lah... tak rugi ....





Tuesday, August 12, 2014

Dalam Anganku...

Dulu semasa kami masih dibelasan tahun
kami selalu berangan, kalau nak kawin, kami nak cari suami yang macam ayah
ayah tak merokok, selalu imamkan solat walaupun hanya dengan mak, ayah selalu bawak keluarga melancong, ayah bantu mak kat rumah, selalu belikan makanan yang mak suka, jaga mak ketika sakit, ayah selalu ajak mak untuk kemana-mana. Walau menemani untuk urusan kerja. Sweet kan...

Tapi bila aku melangkah remaja, aku mula mengenal langkah kehidupan. Keadaan sekeliling mengajar aku tetang kehidupan alam nyata. Hingga pernah bercambah perasaan untuk membenci lelaki. Aku benci dengan apa yang mereka lakukan pada orang disekelilingku. Aku tak mahu menyayanginya, aku tak mahu mencintainya... aku tak mahu kawin... cukup aku ada lelaki yang bergelar ayah.... biar angan-angan tu pergi...

Dewasa akhirnya membawa aku kesini. Ke alam nyata yang tanpa angan lalu. Walau bagaimana aku lari, namun jodoh itu tetap ketentuanNya. Bukan semua angan kita itu akan menjadi kenyataan. Namun kehidupan tetapkan terus kujalani. Hidup dengan semangat dan kesabaran yang ada...


Monday, August 11, 2014

Seperti Aku

Telahku lakukan segala untuk dia
Biarpun tak dihargai
Namun masa akan membuktikan
Betapa selama ini aku sentiasa disisi dia

Tak perlu kau jejaki aku
Tak perlu kau menjadi aku
Kerna yang dia cintai adalah kamu

Biar malam ditaburi bintang
Biar mereka tahu
Siapa engkau disamping dia

Jalani hidupmu menjadi dirimu
Kerna diriku telah kehilangan
Tak perlu lagi mencari yang hilang
Kerana hidup terlalu singkat
Untuk kau menjadi aku

Telah ku buktikan
Segalanya kepada dia


Monday, July 14, 2014

Hati-hati yer...


Dalam dunia hari ni, banyak medium perantara yang digunakan sebagai penghubung. Tapi tanpa disedari medium perantara ini juga digunakan sebagai ejen pemerhati..
Tapi jangan ingat kita jer memerhatikan orang. Orang pun memerhatikan anda... Memang tak salah pun kalau nak tahu.... nak saling mengenali sangat kan....


Kalau dah nak saling mengenali tu kita kenalah saling mengingatkan antara satu sama lain...


So cam nr? Setuju? Selamat Berpuasa yer...



Wednesday, July 02, 2014

Titipan Untuk Hariz Di Hari Lahir


Hari ini, 6 tahun yang lalu tepat jam 1.28 pm... lahirlah seorang putera ke dunia. Tangisan pertama yang didengar meruntun perasaan keibuan. Hilang rase kesakitan yang dirasakan sebelum itu. Walau pelbagai dugaan dan cabaran yang aku lalui... percayalah... dengan rase sayang ini kukan sentiasa bersamamu, Insya Allah....


Ya Allah, aku bersyukur padamu kerana mengurniakan aku putera ini untuk menemani hari-hariku. Seandainya hanya dia yang Engkau amanahkan untukku jaga didunia ini, Engkau jadikahlah puteraku ini anak yang soleh... yang berjaya di dunia dan diakhirat... Amin...

Selamat Hari Lahir, untuk puteraku... Khairul Adam Hariz....

Tuesday, July 01, 2014

Aku Sebatang Pen

Aku hanya sebatang pen
tak perlu kau fikir punca masalahku
dan aku kau biarkan sendiri

Aku hanya sebatang pen
tak perlu kau berikan perhatian
yang hanya kau cari bila kau memerlukan

Aku hanya sebatang pen
yang kau pilih antara banyak yang ada
dan kau pinggirkan antara banyak yang ada

Aku hanya sebatang pen
yang kau bayar dengan ribuan ringgit
lalu kau bazirkan bila tiada lagi nilai di matamu

Aku hanya sebatang pen
yang dipandang hanya semata sebatang pen...

......................................................................................................

Dulu-dulu tajuk ni memang tajuk kegemaran untuk buat karangan... membayangkan diri menjadi sesuatu... agak menarik sebenarnya untuk buat karangan. Memang mencurah-curah idea mengarut-ngarut... aku tak tahulah sekarang masih ade tajuk karangan macam ni kat sekolah...

Ok.. aku juga ada simpan beberapa jenis pen dan pensil... aku pun tak ingat sejak dari tahun bila aku simpan...


Siap dengan pencil box ni skali... walaupun dah bertahun-tahun tapi masih elok kan....


Tapi dalam banyak-banyak tu ade yang aku paling sayang...


Nie lah dia.. pensil picit yang kecik tu rasenya aku belum keje kat sni lg aku dah simpan pensil tu. Kalau tak silap ada orang bagi... tapi dah lupa la siapa...

Yang biru tu pulak salah satu pen warna aku aku guna untuk tullis surat. Ade 1 lagi sebenarnya.. gold color... tapi yang gold tu aku buang... sebab dakwatnya beku... siap ade tanda harga lagi.. pasaraya Hugo (ada lagi ke skang) hargenya RM3.90...

Pen cam nie aku memang banyak beli dulu... macam-macam color... yang paling suka color gold n silver. Masa zaman chat guna MIRC dulu, ada beberapa sahabat yang suka menulis dan membalas surat. Surat tu pulak memang unik-unik, macam-macam color n macam-macam bentuk kami buat dan saling berbalas. Memang pening la kalau posmen tengok sampul surat gtu.. Mala... antara sahabat yang dikenali melalui MIRC dan memang rajin buat surat-surat unik dan berhelai-helai kertas setiap kali membalas... Entah kemanalah dia skang..... Rindunya saat cam tu... Insya Allah kalau ada kesempatan aku akan kongsikan surat-surat tu pulak kat sni... Sebab aku rase sekarang nie orang dah jarang berutusan guna surat kan....

Ok bye....



Friday, May 16, 2014

Bisakah aku.....

Terasa hari-hari berlalu terlalu panjang... sayang rindu benci letih kecewa penat gembira suka duka ketawa menangis jatuh bangun dan berlari.... terlalu banyak cerita untuk orang sekecil aku ini melaluinya... kadang entah bila ketawa bertukar tangisan, entah bila bangun dari jatuh.....entah dari mana benci ini datang dan entah untuk siapa rasa rindu yang datang bertamu...

Mac yang datang dengan gembira diragut ketawa di hujungnya...
Lalu April yang datang membawa terus rasa sedih, luka dan rindu yang bercampur aduk dan terus berjalan menggenggam rasa yang entah bila akan terlepas....

Biar aku berlari dengan dikaburi air mata...
Biar air mata ini jatuh bersama langkahku....
Akukan cuba bangun berbekal semangat yang ada
Juga berbekal doa dalam tiap sujudku
Untuk aku cuba merubah benci kepada sayang


.......................









Friday, March 21, 2014

Jom Stimboat

Masih lagi cerita cuti di Kuantan.... kami sekeluarga nie memang banyak aktiviti makan... ada cuti, ade orang, ada bajet... menjadi jer... cuma aku jer jarang berkesempatan dengan aktiviti dorang nie... iyer la.. bukan selalu pun aku balik kan...


Balik kali nie aku berkesempatan join dorang nie buat stimboat.... untuk dorang ni bukan la kali pertama, tapi untuk aku kali pertama lagi makan stimboat kat rumah... sebelum nie makan kat lua jer.... idak ler aku nak wat sendiri...


Kalau dah wat sendri tu.... ikut la banyak mana yang korang nak makan kan... letakkan ape jer yang korang suka makan...


Tengok macam-macam benda ade... dengan periuk sekali hidang kat atas meja...  hahaha.... Jemput menjamu mata :)


Wednesday, March 19, 2014

Kusoi

Wah ringkas nyer tajuk... kusoi jer... apa-apa yang korang panggil kusoi ke... kaswi ke... kasui ke.... kuihnya tetap kuih yang sama... bezanya pada resepi... ade gunakan tepung gandum sepenuhnya dan ade juga yang guna tepung beras atau campurkan tepung gandum ngan tepung jagung/ubi/kanji.


Kuih ni pun terhasil ketika masih dalam mood cuti di Kuantan. Kalau korang nak tau kuih ni merupakan kepakaran tok aku... kalau tok aku buat memang best gile tapi sayangnya tok aku dah agak nyanyuk sekarang. Rugi pulak rasenya tak belajar ngan dia dulu. Ialah dolu-dolu minatku dalam bidang masak-masak ni enggak ada... atas mood yang masih nak surprise mak aku makanya bantuan pak cik goole masih aku perlukan...



Disebabkan aku pandai-pandai sangat ubah resepi, makanya memang jadi la dan jadi manis gile... hahaha... pastu pandai-pandai la pulak potong masa masih panas lagi.... padan muka aku sebab tak dengar cakap mak... mak kata tunggu sejuk baru potong... tapi selok punya pasal potong jugak....

Untuk resepi nie aku guna sepenuhnya tepung gandum... resepi goole sendiri... Insya Allah jadi punya...

.