Thursday, December 31, 2015

Imbauan 2015

Selamat Tahun Baru 2016...

Akhirnya 2015 berlalu pergi... tentunya pelbagai cerita suka duka yang anda semua lalui kan. Mungkin ada yang sayang nak meninggalkan, mungkin ada yang mengharapkan agar masa cepat berlalu pergi. Untuk aku terasa amat perlahan kakiku melangkah untuk meninggalkan 2015 ni. Pelbagai suka duka yang dilalui namun Alhamdulillah... aku masih mampu melaluinya.

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…     ( Al-Baqarah: 286)

Ujian yang diberikan Allah itu datang silih berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa dan setiap orang diuji oleh Allah berbeza-beza mengikut kemampuannya. Sesungguhnya hanya Dia yang Maha Mengetahui. Dan semoga aku masih mampu untuk melalui hari-hari mendatang dengan sinar tahun baru nie.

Agak lama sebenarnya aku tak update blog nie kan.  Walaupun kadang tu banyak benda nak cerita tapi tak berpeluang nak ngadap komputer nie lama-lama. Jadi hari nie aku nak mengimbau cerita-cerita 2015 yang mungkin ada yang sempat or tak sempat aku ceritakan sebelum nie.


Hariz memulakan langkah persekolahan yang sebenar di tahun 2015. Turun naik dalam pelajaran. Memang mencabar untuk mendidik anak di zaman sekarang.

Walaupun dalam keadaan sarat mengandung waktu nie, tapi masih tetap hadir saban minggu untuk mengikuti kelas cake & pastri oleh Chef Radzi
Di kurniakan oleh Allah seorang puteri buat pengganti Qaisara yang pergi 4 tahun lalu dan juga teman untuk Hariz dan aku melalui hari-hari akan datang. Semoga menjadi anak yang solehah. 

Satu lagi kenangan manis... Pertandingan Berbalas Pantun Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang. Tak sangka minat mengarang dan juga mengarut nie boleh aku curahkan juga dalam pantun. Cubaan pertama kami mengertai pertandingan berbalas pantun dan alhamdulillah dapat tempat ketiga.

Penutup 2015 dan penutup cuti sekolah. Bersama keluarga besar bawa anak-anak cuti-cuti malaysia. 


Wednesday, September 30, 2015

Saje nak TB

Ok... program nie sebenarnya dah wat awal bulan September. Saje nak throwback sebab dah lama takde entry kan. Hehe...

Dinamakan Transformation Xtraordinary TXO - Customer 4 Life, program nie menemukan kami geng-geng PKP sepahang... (sepahang tu ayat...). Tapi hanya separuh jer la tak semua.


Kalau tak silap dalam bulan Julai tu ade satu lagi kursus yang melibatkan kami, tapi waktu tu aku masih cuti berpantang. So inilah kursus pertama aku setelah selesai berpantang. Nie baru sebahagian yang berkumpul... kalau lagi ramai, memang lagi riuh kami nie....

antara aktiviti kami... bina menara dari spageti

Tengah buat aktiviti sempat lagi mengacau orang..
Walaupun program ni dibuat pada hari Sabtu dan Ahad, tapi alhamdulillah masing-masing tetap memberi komitmen yang baik. Lagipun dengan cara inilah kami para PKP Pahang berkumpul, berkenalan, bermesra dan berkongsi cerita.






Thursday, August 20, 2015

Kembalikan Dia Kedakapan Ibunya...

Ya Allah. Lembutkan lah hati mereka-mereka itu untuk mengembalikan Muhammad Raqib Rayyan kepada ibunya. Janganlah dipisahkan bayi yang sekecil itu dari ibunya. Bayi yang masih memerlukan susu ibunya, yang masih ingin merasai dakapan ibu waktu disusui. Susu ibu... kurniaan Allah Taala kepada seorang ibu buat anaknya. Tak semua ibu yang dapat merasainya dan ibu itu antara insan yang terpilih. Maka janganlah kamu menafikan hak antara ibu dan bayi itu.

Ya, aku tak tau masalah mereka dan tak juga berhak untuk masuk campur. Tapi hati seorang ibu ini sebak bila baca kisah ini di FB. Air mata menitis, teringatkan Amni yang aku tinggalkan sementara kepada pengasuh. Setiap hari, balik dari kerja dan ambil Amni, dia seolah tak sabar untuk bersama aku. merasai dakapan waktu disusukan. Walaupun dia menikmati susu yang aku bekalkan kepada pengasuh, tapi dia seakan meronta ingin berada dalam dakapan untuk disusukan. Dia akan menangis semahu-mahunya kalau tak dapat. Melihat air matanya yang mengalir dan sayu suaranya menangis, sudah cukup meluluhkan hati.

Dan dapat kubayangkan tangisan Muhammad Raqib Rayyan saat diberi minum susu botol. Wajah Amni terbayang lagi.... menangis dengan raut wajah yang sayu sambil memandangku saat aku melakukan perkara yang sama.

Apa perasaan insan lain yang telah bergelar ibu tatkala melihat bayi sekecil itu menangis. Apa perasaan insan lain yang pernah bergelar ibu apabila mendengar rengekan sedih anak kecil yang belum mengerti apa-apa itu. Apa perasaan seorang ibu itu apabila melihat anak kecil itu tidur bersulam air mata, merindui dakapan ibunya.

Tidak salah untuk korbankan ego demi seorang insan sekecil itu. Tidak rendah maruah seseorang itu untuk memohon dan memberi kemaafan. Janganlah disebabkan perselisihan faham antara kita yang telah dewasa menjadikan bayi itu sebagai mangsa.

Bukan bermaksud untuk mengajar apatah lagi penyibuk hal orang. Sekadar coretan luahan permintaan seorang ibu yang punya anak sebaya Muhammad Raqib Rayyan tu. Juga ingatan buat diri sendiri.


Friday, August 14, 2015

Amni : Breastfeeding Journey



Alhamdulillah.. 2 bulan lebih menyepikan diri dari bersiaran di sini. Akhirnya hari ni baru ada kesempatan. Mungkin masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat islam. Sedar tak sedar dah dipenghujung syawal pun kita.

Sejak ada anak kecil ni, jadual dah banyak berubah. Agak sukar untuk aku menyesuaikan diri dengan keadaan ni. Maklumla dah 7 tahun tak menguruskan baby. Apatah lagi kalau ragamnya lain dari yang sebelumnya. Aku ambil keputusan untuk full bf baby kali ni. Abangnya dulu hanya sempat selama 6 bulan jer, lepas tu terus tak nak. Mungkin sebab dah sedap dengan susu formula.

Dengan semangat yang ada, aku pun mula mencari keperluan-keperluan yang diperlukan. Kebanyakan aku cari kat ig jer.. sebab waktu tu masih dalam tempoh berpantang jadi memang banyak yang beli online jer.



Lebih kurang sebulan sebelum cuti aku habis dan akan mula bekerja, aku pun cubalah bagi Amni mencuba botol yang aku beli tu. 1 set tau aku beli dengan confident nya kan, closer to nature kan. Korang tau, dia tolak mentah-mentah. Puting susu tu bersentuh jer kat bibir dia, dia akan pusingkan kepalanya kat arah lain. Pastu nangis lapar. Aku suruh orang lain bagi pun sama. Tetap tak nak.

Aku teruskan survey aku, membaca dari blog ke blog, cerita pengalaman diorang yang mengalami pengalaman yang sama macam aku. Dalam pada tu juga aku sempat mencuri masa di Giant dan cuba beli puting botol nie dan sebiji botol lain sebab dia tak jual sekali dengan botol. Aku cari puting susu yang macam nie sebab Hariz dulu pacifier nya bentuk, color n brand tu gak tapi bila tukar color yg jernih tu dia tak nak, walaupun bentuk dan brand yang sama.

Sumber Google
So dengan tak sabarnya balik tu, bersihkan apa patut, terus aku cuba bagi kat Amni. Gembiranya hati waktu tu sebab dia sedut dengan jayanya. Habis sebotol. Tapi kegembiraan yang tak lama, sebab esoknya dia dah tak nak. Waktu tu aku cuma ada beberapa minggu sebelum kerja. Susah hati juga fikirkan pasal nie.

Aku teruskan juga usaha menyuakan botol tu kat dia di hari dan hari dan hari berikutnya, tapi tetap tak nak,  Cuti bersalin dah habis dan aku mulakan kerja. Amni aku tinggalkan dengan pengasuh bertemankan botol tu. Pengasuhnya beritahu dia tetap tak nak dan sanggup tidur jer. Sedih aku dengar. Maka terpaksalah aku balik menyusukan Amni tiap kali pengasuhnya call bagitau Amni menangis lapar. Mujur la rumah dengan opis tak la jauh sangat.

Misi seterusnya mencari botol yang sesuai untuk Amni. Kali ini aku lebih tumpukan pada puting botol. Aku try beli Nuby, tapi cubaan gagal. Tetap tak nak.
http://www.qbabyshoppe.com.my/image/cache/data/nuby/nuby-bottle-clear-150-ml-285x285.jpg

Ok. teruskan pencarian. Kawan aku cadangkan Comotomo dan hasil pembacaan aku ramai juga yang berjaya dengan comotomo nie, maka belilah aku...

http://www.kids-n-cribs.com/images/thumbs/comotomo/comotomo_EN_150P.jpg

Botolnya lembut macam Nuby tu. Tapi puting comotomo nie lagi lembut berbanding Nuby. Dan hasil yang aku dapat tetap sama. Amni tetap tak nak juga... hampanya aku. Aku berkira-kira untuk cuba beli Mimijumi pulak, tapi bila memikirkan puting Mimijumi yang tak selembut Comotomo tu. Jadi aku batalkan dulu niat tu.

2 hari sebelum artikel yang aku tulis nie, Amni dah mula pandai menggunakan botol susu. Korang rasa botol mana yang dia nak... hihi.. dia pilih cubaan kedua aku tu. Puting Fiffy tu... Syukur Alhamdulillah. Pengasuhnya tetap cuba bagi guna comotomo tu tapi dia tetap tak mahu. Tak pe la sayang. Ikut mana kamu sedap. Mama tetap akan simpan botol-botol tu dulu tunggu Amni besar sikit. Manalah tahu kot dia nak kan.

Untuk rakan-rakan yang lain yang akan dan sedang melalui pengalaman yang sama. Jangan putus asa yer mencuba... doa dan usaha. Insya Allah berjaya...



Saturday, May 30, 2015

Puteri Pengganti Yang Dinanti

Hari nie, 5 tahun yang lalu, aku melahirkan seorang puteri yang mana puteri itu pergi sebelum sempat melihat dunia dan mamanya. 5 tahun sayang pemergianmu. Dan 32 hari yang lalu aku selamat melahirkan seorang lagi puteri yang wajahnya persis wajah puteriku dulu. Sememangnya dia puteri pengganti yang aku nanti. Aku bersyukur dengan pemberian dariNya ini.

Bohong kalau aku katakan aku tak fobia dengan peristiwa lalu. Ya, perasaan takut untuk 'hilang' sekali lagi tu tetap ada. Namun aku tetap buat persiapan menyambut orang baru ini seadanya.

Melahirkan anak yang ketiga ini tidaklah semudah yang kedua. Kalau Hariz dulu 'forcep', kali ini 'vacuum' pulak. Aku sakit dari rumah seawal jam 7 pagi lagi, tapi sebab sakit yang kukira lambat lagi yang kononnya dari pengalaman sebelum ni jadi aku hanya rilek dengan menyiapkan diri untuk ke hospital.

Kurang lebih kul 10 pagi aku di Low Risk, HTAA kemudian dalam pindah ke High Risk (atas nasihat doktor semasa di CH dalam buku merah aku tu) dan juga mungkin juga sebab keadaan aku ketika tu.

Sesampai di Labour Room.. terus rs nak bersalin. Baby mcm nak kua sesgt dh. Tp waktu tu aku mmg xde kekuatan nak 'meneran'. Berkali ku cuba dan bila doc cakap kena vacuum aku redha jer... dah x peduli walau dia cakap jahit banyak ke apa. Yang aku tahu aku nak baby aku selamat. Sebenarnya masa di Low Risk aku dgr doc pggl ayah aku dan bagitau yang tekanan darah aku naik, baby dah berak kat dalam dan jantungnya lemah.  Maka sebab itu la aku tak kisah apa doc nak wat janji anak aku keluar dan hidup.

Aku hanya nak dia jer. Aku takut rasa kehilangan lagi dan aku sendiri pun tak tau macam mana nak hadapi kalau sesuatu berlaku. Hanya Allah yang tau perasaan waktu tu. Akhirnya puteriku selamat dilahirkan an diletak diatas perutku. Tapi aku tak dapat nak tengok sebab terlindung dengan kain dan baju. Aku hanya dengar tangisannya sekejap je dan kemudian terus diambil pegi.  Lama aku kat labour room tu sebab tunggu baby. Aku dimaklumkan baby ku terus diberi bantuan oksigen sebab keadaan jantungku dah lemah. Mujur dorang bgtau masa baby dah ada pada aku untuk disusukan. Kalau gta awal.. lg byk bnda lak aku fikir masa tgh tggu tu.

Perasaan bimbang sekali lagi menghantui masa aku bawa dia ke kinik untuk cucuk sebulan.  Doc suh refer ke HTAA untul ultrasound. Sebab ada satu tanda ditelinganya. Ya Allah... mak tau aku risau. Berkali kali mak nasihat supaya tak fikir sangat. Itu hanya andaian sahaja. Semoga nanti dia tak apa-apa. Itu doa mama buatmu puteriku.

Terima kasih pada doktor dan petugas di Low Risk dan High Risk  HTAA Kuantan. Dah 2 kali bersalin kat sini dan layanannya tetap baik macam 5 tahun lalu.

Sebenarnya aku kongsikan pengalaman bersalin ni jugak untuk ingatkan diri aku tentang erti pengorbanan seorang ibu. Mungkin ada diluar sana yang tak merasa dibesarkan ibu, tapi ketahuikah kamu mcm mana sukarnya ibu itu melahirkan kamu.

Sekadar Ingatan Bersama..


Friday, April 24, 2015

Mango Cheese Cake Yang Mudah



Inilah hasil percubaan pertama mango cheese cake. Dah sarat pun sibuk membaking lagi kan. Aku google resepi paling senang. Resepi nie tak perlu nak guna mixer bagai, cuma guna blender jer. Cumanya kejadiannya nipis aje, sebab loyangnya besar. Loyang kecik ada tapi bukan jenis yang boleh bukak tu. Aku share resepi kt sni supaya senang gak aku nk cari nanti. Aku tak ingat kat mana aku jumpa resepi ni dan aku ubah sikit..

Untuk Base nya aku tak ikut sukatan. Aku ikut suka jer.. agak-agak.

Gaulkan biskut marie yang dah diblend dengan mentega yang dicairkan... ratakan dalam loyang/bekas. Simpan dalam peti lebih kurang 30 minit.

Larutkan 15 gm gelatin dengan 60ml air panas (ketepikan)

Blendkan bahan-bahan nie..
250gm cream cheese
250ml susu full cream
1 cawan gula
1/2 cawan puree mangga (aku blend setengah biji mangga dgn setengah cawan air)

Dah agak-agak kembangnya masukkan gelatin yang dah di larutkan tu dan blend sekejap untuk sebati. Tuang aduan dalam loyang yang berisi base tadi. Simpan dalam peti beku lebih kurang 1 atau 2 jam atau agak-agak dah keras.

Untuk Toppingnya...
1/2 cawan puree mangga (buat sama macam tadi)
1 1/2 sudu kecil gelatin
1/2 cawan air panas
1 sudu gula

Rendam serbuk gelatin dengan air hingga kembang. Dan gunakan kaedah double boiler, satukan bahan toping dan kacau bersama gelatin yang dah larut tu. Agak-agak dah suam baru letakkan atas cheese cake tadi. Tapi sebelum aku letakkan toping nie.. aku letakkn dulu hirisan mangga. Nak hias or bentukkn cantik-cantik pun boleh. Tapi kalau malas, wat jer lebih kurang macam aku tu. Ok dah bley simpan dalam peti beku tu semula. 2 jam or agak-agak dah keras bleh la makan.



Pic atas nie pulak, yang aku buat masa dah balik bercuti kat kuantan. Tingginya dah cantik tapi malangnya toppingnya aku tersalah wat.. aku blend jer semua bahan tu... sebab tu berbuih dan tak nampak mangga yang aku hias cantik atas tu... Pastu tak puas hati buat sebijik lagi... dalam masa yang sama...tetap jadi cam tu gak... lastly baru terpikir kesilapan tersebut.... Cehh..


Hahaha... tetiba terselit pic roti plak. Punya la rajin mak yong ni kan... dah la 2 biji cheese cake tu sekali buat, pastu meroti lagi. Tak pe... nanti dah berehat panjang... tak turun la ke dapur... Cuti dari dapur...




Saturday, April 18, 2015

Persiapan Sebelum Cuti

Banyak benda yang aku fikirkan sebelum aku memulakan cuti yang ku mohon 2 minggu awal sebelum due. Terutama memikirkan anak teruna ku nan seorang tu. Berat hati gak.. sebab selama nie semua benda aku yang siapkan untuknya. Makan, pakainya.... Bab makan terutamanya sebab Hariz tak suka pedas, jadi memang makanan untuknya aku lebih selesa untuk masak sendiri.


Jadi aku terfikir untuk buat pes dan frozenkan. Mulanya nak letak bekas jer... tapi pas siap masak pes baru dapat idea untuk wat camni. Lagi senang dan mudah untuk masak.


Kebiasaannya Hariz makan mee untuk makan tengah hari. Tak kisah mee apa pun. Jadi aku buatkan pes untuk sup dan jugak untuk gorengan mee. Aku buat gak pes untuk nasi goreng kuning kesukaannya.


Inilah hasil yang tak seberapanya. Ini cuma sebahagiannya. Aku buat agak-agak tahan untuk 2 minggu. Habis yang ini baru aku wat lagi yang lain. Walaupun berjauhan dari mama, tapi air tangan mamanya masih ada kan..






Monday, April 13, 2015

GST oh GST

Dah 2 minggu nampaknya perjalanan GST kan. Masa hari pertama pelaksanaannya, bermacam-macam jenis resit yang di muat naik di fb. Sebelum dilaksanakan benda nie, aku pun memang tak tahu pun macam mana benda nie akan berjalan. Bukan malas membaca, tapi kurang faham kalau setakat membaca nie dan tak dapat nak bayang. So bila dah dilaksanakan dan melihat sendiri baru lah tau sikit-sikit dan barulah ada kerajinan untuk membaca dengan bantuan dari cik google.

Aku tak la kat sini nak ulas pasal GST ke.. kebaikan ke... keburukan ke. Memandangkan kebanyakkan barang-barang keperluan aku dah beli selepas gaji, so agak jarang ke kedai. Apa yang aku nak kongsikan nie, minggu lepas aku terasa nak makan roti dengan ais krim. Jadi belilah sebekas ais krim dengan sebungkus roti gardenia putih. Ais krim pulak cuma ada 1 pilihan jer. Harga pun aku tengok agak mahal berbanding sebelumnya. Roti putih tu aku tau zero item, tapi masa bayar aku tengok resit ais krim tu pun bertanda Z juga. So auntie tu terangkan kat aku yang harga pada ais krim tu memang dah termasuk dengan GST. So dengan senang hati aku balik ke ofis dengan senang hati (sebab dapat benda yang nak dimakan kan.. hehe)

Namun kemusykilan aku kat sini macam mana kami pengguna ni nak tau harga barang-barang yang bukan zero item tu dah termasuk GST atau tak. Apakah kami kena bergantung kepada kejujuran peniaga tu sendiri. Macam kes ais krim tadi, andai kata peniaga tadi tak jujur, makanya aku kena bayar dengan harga yang mahal dan ditambah lagi dengan GST. Kebetulan aku beli barang sikit takpe la kan.. boleh tanya jer, tambahan lagi dah memang pelanggan tetap. Bayangkan kalau beli barang banyak-banyak, ambil masa jugaklah kalau nak orang yang rajin macam aku nie cek resit.

Banyak tanya nanti orang bosan. Tak mahu bertanya nanti di kata bodoh sombong. Eeemmmmm.....





Saturday, April 04, 2015

Puding Karamel Cheese

Puding Karamel Cheese atau Caramel Cheese Pudding nie aku buat untuk menghabiskan stok cheese yang ada. Rugi pulak kalau dah luput tarikh nanti. Tambah lagi nak bercuti panjang nie kan.

Karamel Cheese nie memang mudah sebab aku cuma blended jer semua bahan sama macam aku puding karamel yang biasa. Maklumla sejak mixer rosak dan belum dapat pengganti hampir setahun nie aku blander jer la peneman. Tu pun kena cari resepi hidangan yang logik la untuk guna blander.


Untuk karamelnya aku agak-agak jer gula dan air, rasenya dalam suku cawan gula dan air. Untuk pudingnya pula, aku guna 4 biji telur (sebab gred C), cream cheese lebih kurang 100gm, 3/4 cawan susu cair, 3/4 cawan air, suku cawan gula (sebab tak nak manis sangat), sedikit garam. Semua bahan tu aku blended jer sekaligus.


Karamelnya aku buat terus dalam loyang (loyang kecil jer, tak silap 6 or 7 inci kot) dan biarkan kejap sambil tu terus wat aduan puding. Dah siap adunan tu tuangkan dalam loyang berisi karamel tu dan bakar guna kaedah bain marie. Pastikan oven tu dah di panaskan dulu yer, jangan lupa plak. Bakar sejam sejukkan kejap dan letak dalam peti sejuk lebih kurang 3-4 jam. Terbalikkan... siap untuk dimakan. Aku hidang dengan buah yang masam untuk hilangkan rase muak cheese. Kalau strawberry lagi best kot.





Friday, April 03, 2015

Soopa Doopa and Bubble Giant


Mood rajin ber blogging hari nie di teruskan dengan cerita cuti penggal sekolah yang lalu. Aku memang tak bawa Hariz ke mana-mana cuti seminggu nie. Hanya menghabiskan cuti di Cameron Highlands. Tak larat jugak rasenya nak turun naik. Mujur juga banyak aktiviti sempena cuti yang di buat kat sini... antaranya soopa doopa.

Tapi penganjur iklankan nie namakan sebagai zoo belon. Maybe sebab tak la semeriah atau sehebat soopa doopa yang dibuat di tempat lain. Hari Ahad tu aku bawanya kesini. Tak sabar dah sangat nak ajak pergi. Padahal benda nie seminggu.. hari-hari lain pun boleh pergi lagi.

Yang ni aku paksa naik, sebab katanya takut. Amik masa jugala dia nak gelongsor turun. Lepas turun, tak nak naik dah kononnya. So pergilah tukar ke futsal plak. So aku pun duduk lepak kat khemah dalam kawasan situ.

Dan entah waktu bila, aku terpandang anak teruna sorang ni turun dari gelongsornya yang kononnya takut nak naik tadi... ceh.. takut la sangat... lepas tu dia asyik turun naik jer kat situ. Lepas dia, dia lagi... sampai la habis untuk sesi pagi tu.

Sesi petang kami kembali lagi... ikut kehendak anak teruna nie..

Pun masih nak main benda yang sama. Tapi kali nie kena beratur la pulak sebab orang ramai. Dah puas main sesi petang, dia ajak lagi pergi sebelah malamnya... tapi aku cakap tak larat dah nak menunggu, lagi pun sejuk duduk menunggu kat situ... Sudahnya, malam tu dia pun tidur awal. Keletihan seharian bermain.

Itu awal cuti... penghujung cuti plak aku ajak dia main Bubble Giant, walaupun dah lama Bubble Giant nie ada kat Padang nie tapi baru di kesempatan yang ada untuk pergi itu pun sebab kawan-kawan cakap seronok main ramai-ramai kat situ.

Akhirnya dalam kemalasan balik dari kerja, aku bawak la juga Hariz ke sini. Mula-mula main guna gelung plastik tu jer, tapi bila tengok orang main guna tali jadi belon yang besar, dia pun nak jugak...



Ok, bubble giant nie tak berakhir hari itu jer. Lepas pada nie ada beberapa kali lagi aku bawak dia ke sini. Makin pandai la kononnya buat belon besar-besar tu....

Thursday, April 02, 2015

Langkah Hariz Ke Darjah 1

 Alhamdulillah. Dah melepasi suku tahun pertama untuk 2015 di kan, baru hari nie nak cerita pasal Hariz yang memulakan langkah ke alam persekolahan yang sebenar. Sebelum orentasi lagi dia memang dah xcited sangat, hari-hari bertanya bila nak umur 7 tahun. Mungkin sebab apa yang dia paham, bila umur 7 tahun jer dia akan melangkah ke darjah 1.

Hariz takde masalah untuk membiasakan diri di sekolah tu sebab dah biasa dengan persekitaran dan kawan-kawan semasa di Pra Sekolah dulu. Sedangkan semasa di Pra dulu pun aku tak tunggu, inikan pula darjah 1 kan. Masa rehat pun aku tak pergi menjengok walaupun aku tau dia belum pandai untuk membeli. Aku nak dia berdikari, nanti kalau aku pergi dan dia tengok aku ada mesti dia akan harap pada aku, lagi pun sebelum nie aku dah ajar dia basic camner nak membeli dan dia pun tau mengira duit. Jadi aku memang percayakan anak bujang aku sorang nie.

Exam awal tahun nie pun alhamdulillah resultnya. Subjek kesukaannya dapat 100%, bukan main seronok lagi dia tunjuk kertas tu kat aku. Aku tak kisah apa nombor yang dia dapat dalam kelasnya asalkan resultnya baik.

Pagi yang tetap bertenaga, tapi PSP kat tangan tetap tak lekang ok. Sempat juga nak main tu. Latar belakang yang semak samun dibelakang tu sila abaikan yer....  kami nie memang pencinta alam semulajadi... hehehe...

Ini baju untuk PJ time... tetap pose di pagi hari......






Tuesday, March 31, 2015

Kuih-Muih Tradisi

Sepanjang menyepi nie, anak tekak nie teringin nak makan macam-macam. Kadang tu benda yang susah gak la nak memenuhi selera anak tekak kalau dibeli.

Kaswi nie aku buat sebab rindukan arwah tok. Walaupun tak la jadi macam arwah buat tapi ok lah sebab memenuhi selera sendiri. Selera orang lain tak tau la aku. Hehe..



Kuih Tepung Pelita..
Ok, kuih nie aku nak story sikit sebab yang ini memang susah nak cari yang taste aku.. di daerah aku, sejak kecil dan mula makan kuih, aku memang mengenali tepung pelita yang hanya ada warna putih sahaja. Tapi sekarang memang takde jumpa. Pernah la dalam beberapa tahun lepas kami singgah ke Bazar Ramadan di Taman Tas, Kuantan dan jumpa yang ini. Dapat makan tu terharu rase macam nak menangis.


Tepung pelita yang dijual sekarang nie, bawahnya hijau atasnya kuning. Bukan la tak memenuhi selera cuma pada aku lebih tradisi bila sesuatu yang kita selalu makan masa kita kecil-kecil dulu kan.



Lepat labu nie aku buat untuk menghabiskan labu yang ada. Gatal sangat beli sebijikan... so pandai-pandai la habiskan.. ape pun memang lebih puas hati bila kita dapat mencuba sendiri untuk masak dan apa yang kita masak tu memenuhi selera tekak kita kan...



Monday, March 30, 2015

Masakan Daging Salai

Aku tak la pandai sangat nak masak lauk-pauk nie... cuma disini aku saje nak kongsikan hasil masakan daging salai yang aku beli dari kawan pejabat merangkap jiran aku. Manalah tau mungkin boleh bagi idea kat anda-anda yang nak menyediakan hidangan tengahari atau malam kan.

Kebiasaan yang aku tengok daging salai nie biasanya orang buat masak lemak cili api kan. Yang itu aku dah biasa buat jer. Tapi memandangkan masak tak habis-habis (maklumla makan berdua jer) jadi aku pun mencuba dengan beberapa masakan lain.

Aku suka makan singgang... jadi yang pertama aku cuba Singgang Daging Salai..

Yang ini pulak kerabu taugeh dengan daging salai. Kerabu nie memang aku selalu buat kalau beli daging salai. Dengan rasa masam, pedas dan bau salai tu memang menambahkan selera aku untuk makan bertambah tambah...

Asam Pedas Daging Salai pun aku cuba gak. Tapi asam pedas nie aku cuma guna pes asam pedas yang aku beli jer. So rasanya biasa-biasa aje. Bagi korang yang pandai wat asam pedas mungkin rasenya akan rasa lebih menarik.

Bila dah ketandusan idea untuk wat lauk. Balance yang ada aku buat nasi goreng. Aku hiriskan halus-halus jer. Hariz suka makan nasi goreng kuning nie. Simple jer kan...

Friday, March 27, 2015

Kesempatan Cuti CNY

Ini cerita percutian kami semasa Tahun Baru Cina yang lalu.

Sebenarnya tiada perancangan awal pun nak ke mana-mana balik bercuti nie. Konon nak lepak rumah mak jer. Tapi adik aku nie suka buat program mengejut. Hariz bila tengok ada abang sepupu nan seorang tu pergi, dia pun sibuk nak ikut juga. Jadi terpaksa la aku ikut juga.

Program kami di banyak sungguh di halangi cobaan. Dan setelah beberapa rombakan dibuat akhirnya berlepas la kami ke destinasi pertama kami iaitu Aquaria KLCC...




Penat wei dok mengejar 3 orang hero nie berjalan. Asyik terlepas dari pandangan jer, ligat betul dorang nie, kejap ke sana kejap ke sini. Puas nak mencari celah celah orang ngan perut cam nie. Mujur anak adik aku yang bongsu tu tak pandai jalan lagi, kalau tak 4 hero handalan kami kena awasi... letih... diorang buat macam tempat yang biasa pergi jer...

Itulah abang sepupu Hariz yang sukar dipisahkan kalau berjumpa, Fahen. Apa dan kemana abang fahennya buat semua dia nak ikut.

Sebelah malamnya kami bercadang nak ke ICT, Shah Alam. Tapi jalan jem yang sesangat sampai tahap tak boleh nak masuk. Cari jalan alternatif yang lain pun keadaannya tetap sama. Untuk kami yang dah pernah pergi ni tak kisah la tak pergi pun, tapi untuk 2 hero lagi tu frust la sebab tak dapat pergi. Hehe.. takde rezeki diorang. Tambahan lagi waktu tak mengizinkan sebab esokknya adik aku kena keje, on call, kesian takut dia penat so kami balik tidur kat rumahnya di Bukit Beruntung.

Keesokkan harinya... mujur kerjanya cepat siap, sebelum tengahari kami dah gerak balik. Dalam perjalanan kami sempat singgah di Bukit Tinggi, Bentong... konon lepas hajat aku la... memang aku pun tak penah sampai ke sini walau dah banyak kali cakap nak pergi.

Alhamdulillah... walaupun singgah kejap jer pun dah memadai. Bukan apa, saja nak tengok tempat tu macam mana kan.. Cuma aku tak tau kat mana taman jepun tu... dah nama pun singgahkan... tak lah nak meronda habis kat dalam tu.



Hero sorang nie kalau suruh bergamba memang over pose nyer... Ok lah.. Insya Allah mungkin kalau ada kesempatan lain sampai lagi kami ke sini... tunggu baby keluarkan dan besar sikit baru syok bawak pergi jalan kan...